Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang
Kompleks terbesar di Pasir Gudang ini menjadi tumpuan orang ramai bagi mencari pelbagai keperluan. Ianya turut menempatkan pejabat Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Tenaga Nasional Berhad dan Jabatan Pendaftaran Negara. Di antara kemudahan lain yang terdapat di kompleks ini ialah Perpustakaan Awam Pasir Gudang, Masjid An Nur Pasir Gudang, Terminal Bas dan Hentian Teksi Pasir Gudang, Pejabat Pesuruhjaya Sumpah, ruang membeli belah, gerai makanan, restoran makanan segera serta butik kecantikan.
Tanjung Puteri Golf Resort
Dengan keluasan 833 ekar, Tanjung Puteri Golf & Country Resort merupakan salah satu daripada resort golf yang terbesar dan paling berprestij di negara ini dengan dilengkapi kemudahan rekreasi, penginapan dan hotel. Dengan memiliki padang 18 lubang, resort ini turut dilengkapi dengan 20 bilik tetamu, 34 villa 2 tingkat, 7 bilik mesyuarat serta kemudahan rekreasi yang lain.
Taman Pertanian Kong Kong
Rasai kedamaian dan keharmonian di Taman Pertanian Johor yang terletak jauh dari kesibukan kota. Dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti bilik penginapan, dewan makan dan bilik seminar yang menjadikan Taman Pertanian berkonsepkan ’ladang rekreasi’ ini sesuai bagi pelbagai aktiviti riadah dan rekreasi sama ada bagi individu, bersama keluarga mahupun organisasi.