30 April 2025, Delegasi MBPG yang diketuai oleh Yang Berhormat Dato’ Haji Mustaffa Kamal bin Dato’ Haji Shamsudin, Datuk Bandar Pasir Gudang, telah mengadakan lawatan penandaarasan ke Perbadanan Putrajaya bagi meninjau pelaksanaan inisiatif Bandar Pintar dan Bandar Rendah Karbon di Putrajaya.
Lawatan ini bertujuan memperkukuh pengetahuan dan perkongsian amalan terbaik dalam pelaksanaan elemen bandar pintar yang merangkumi infrastruktur digital, sistem pemantauan pintar, pengangkutan bersepadu, pengurusan tenaga hijau serta teknologi rendah karbon yang digunakan di Putrajaya.
Antara lokasi tumpuan lawatan termasuklah Putrajaya Command Centre (PCC) yang berfungsi sebagai pusat kawalan bersepadu 24 jam, dilengkapi dengan pemantauan CCTV pintar, sistem analitik data, sistem pengurusan kecemasan serta integrasi pelbagai agensi untuk tindak balas pantas dan berkesan.
MBPG turut meneliti pelaksanaan Smart Street Lighting, sistem pengangkutan pintar termasuk Autonomous Electric Bus, Cashless Parking, serta platform Integrated Environmental Monitoring System (IEMS) yang memantau kualiti udara, cuaca dan penggunaan tenaga secara real-time.
Lawatan ini diharap dapat menjadi pencetus kepada pembangunan model bandar pintar MBPG yang lebih holistik, mampan dan inklusif demi kesejahteraan warga Pasir Gudang.
