Skip to main content

[[{"fid":"27096","view_mode":"default","fields":{"format":"default","field_file_image_alt_text[und][0][value]":false,"field_file_image_title_text[und][0][value]":false},"link_text":null,"type":"media","field_deltas":{"1":{"format":"default","field_file_image_alt_text[und][0][value]":false,"field_file_image_title_text[und][0][value]":false}},"attributes":{"style":"height: 101px; width: 100px;","class":"media-element file-default","data-delta":"1"}}]]

PERUTUSAN DATUK BANDAR PASIR GUDANG

BISMILLAHIRAHMANNIRRAHIM

السَلامُ عَلَيكُم وَرَحمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

& Salam Sejahtera

 

Selamat datang ke laman sesawang Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).

 

Terlebih dahulu saya dan seluruh warga kerja MBPG merafak sembah menjunjung Kasih Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor di atas perkenan pemasyhuran Majlis Bandaraya Pasir Gudang pada 22 November 2020 bersamaan dengan 6 Rabiulakhir 1442H.

 

Seterusnya, saya juga ingin mengambil kesempatan ini bagi merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor diatas kepercayaan yang diamanahkan kepada saya untuk memimpin MBPG sebagai Datuk Bandar pertama berkuatkuasa 22 November 2020.

 

Sesungguhnya, saya menerima jawatan ini dengan rasa rendah diri dan bersyukur serta amat sedar akan amanah dan tanggungjawab besar yang menanti, yang memerlukan komitmen penuh serta usaha berlipat ganda bagi meneruskan legasi kecemerlangan sediada.

 

Saya percaya dan penuh yakin bahawa dengan sokongan dan kolaborasi semua pihak berkepentingan seperti Kerajaan Negeri Johor, Ahli-Ahli Majlis, warga kerja MBPG dan masyarakat sekitar Pasir Gudang akan bersama-sama saya mengemudi organisasi dalam mencapai gagasan sebuah Bandaraya Industri dan Pelabuhan, Insya Allah.

 

Apabila dinaiktaraf ke status bandaraya mesti ramai yang terfikir tentang gambaran sebuah bandaraya  yang penuh dengan bangunan pencakar langit, sesak dan padat serta mempunyai aliran trafik yang tinggi. Namun Pasir Gudang amat unik kerana ianya dibangunkan melalui pelan asal perancangan pembangunan bandar yang teratur dan tidak menumpukan pada sesuatu kawasan sahaja. Setiap kawasan pembangunan telah dilengkapi dengan infrastruktur dan kemudahan diperlukan masyarakat.

 

Walaupun lebih dikenali dengan Bandaraya Industri, MBPG tetap optimis melalui hasrat  mengekalkan kelestarian alam sekitarnya bagi menjamin keselamatan dan keselesaan penduduk. Pelbagai inisiatif kelestarian hijau turut dilaksana manakala  sasaran menanam 1 juta pokok hampir tercapai apabila sehingga kini sebanyak 840,000 pokok telah ditanam setakat ini. Kolaborasi pengawalan persekitaran bersama agensi berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar semakin diperkukuh mulai tahun 2019 apabila MBPG membenarkan jabatan tersebut beroperasi terus dari Menara Aqabah.

 

Selaras dengan dasar menerangi bandar melalui semua jalan - jalan protokol, jalan kampung dan juga di persimpangan jalan. Saya menjangkakan bandaraya ini akan terus ditambah keceriaannya pada waktu malam melalui projek pencahayaan yang akan diberi keutamaan.

 

Peralihan sedang berlaku dalam sektor pembuatan dan pengeluaran, justeru MBPG sebagai pentadbir kawasan perindustrian terbesar di selatan tanah air ini akan memberikan perhatian khusus terhadap perkara ini yang juga disebut sebagai Revolusi Industri 4.0. Usaha ini membabitkan disemua peringkat kerajaan, swasta, pembangunan modal insan dan mobiliti sosial di dalam membentuk hubungan dua hala antara manusia dan peralatan elektronik yang menjadikan manusia itu sebahagian dari teknologi.

 

Kita masih lagi berada di dalam situasi menghadapi cabaran ketidaktentuan isu kesihatan bila mana pandemik COVID-19 dilihat masih belum kelihatan tanda-tanda ianya akan berakhir. Saya amat berharap agar semua pihak dapat bersabar dan berdoa, untuk membiasakan  diri dengan `the new norm’, norma baharu ini dengan mematuhi tatacara SOP asas yang ditetapkan iaitu pemakaian pelitup muka, penggunaan hand sanitizer  dan patuhi penjarakkan sosial serta elakkan berada di kawasan sesak.

 

MBPG turut bertanggungjawab melaksanakan sanitasi menyeluruh di bangunan-bangunan yang menjadi tumpuan awam seperti Menara Aqabah, Dewan Muafakat, Pasar Awam dan gerai makan milik MBPG secara berjadual dan akan diteruskan mengikut keperluan. Dalam masa yang sama, MBPG turut cakna dan prihatin mengenai kesukaran ekonomi yang dihadapi masyarakat di kawasan pentadbiran ini terutamanya para peniaga kecil dan mereka yang diberhentikan kerja.

 

Justeru usaha-usaha akan terus dilakukan untuk memberikan insentif yang bersesuaian dan manfaat kepada kelompok terjejas selaras dengan pembentangan bajet oleh YAB Menteri Besar Johor pada 26 November 2020.

 

Akhir kata, kami berikrar insyallah bahawasanya pembangunan mampan Pasir Gudang dan lokaliti sekitarnya akan terus diperkasa melalui sistem penyampaian perkhidmatan awam berkelas dunia.

 

Sekian, terima kasih.

 

 

“PASIR GUDANG BANDARAYA INDUSTRI DAN PELABUHAN”

 

DATO’ ASMAN SHAH BIN ABD RAHMAN

Datuk Bandar Pasir  Gudang

Majlis Bandaraya Pasir Gudang