Skip to main content

Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) melalui Bahagian Pembangunan Masyarakat dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru telah menganjurkan program Berkhatan Perdana Pasir Gudang Tahun 2023.Jom Khatan dengan penyertaan seramai 100 orang kanak-kanak lelaki bermastautin di kawasan Pasir Gudang.

Program yang dimulakan pada jam 8.00 pagi ini telah dimulakan dengan bacaan doa selamat oleh Tuan Haji Azra’i Bin Mahmood, Pengerusi Biro Agama Kelab Sukan dan Kebajikan MBPG dan diteruskan dengan taklimat perjalanan program oleh Dr Azzahidi Fahmi Bin Abdul Aziz, Pegawai Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru.

Seterusnya pada jam 8.30 pagi, program telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Asman Shah Bin Abd. Rahman, Datuk Bandar Pasir Gudang diiringi oleh Dr Azzahidi Fahmi Bin Abdul Aziz dan Tuan Haji Mohd Yusof Bin Abd Wahab, Timbalan Setiausaha MBPG. Sebelum sesi berkhatan bermula peserta telah disiramkan dengan air dari jentera pasukan Bomba Balai Pasir Gudang. Program turut dimeriahkan dengan kehadiran maskot Ejen Ali yang memberikan semangat dan keceriaan kepada peserta berkhatan tahun ini. Program ini turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti tayangan filem animasi, persembahan maskot, booth aiskrim, bertih jagung dan cotton candy percuma, pemberian goodies bag, jualan makanan bertrak dan photobooth untuk peserta bergambar kenangan.

Program berkhatan dimulakan dan dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan petugas kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru seramai 20 orang. Program telah berlangsung dengan jayanya dan berakhir pada jam 3.45 petang. MBPG ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan sekalung penghargaan kerjasama yang diberikan terutama kepada pasukan kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru, Balai Bomba Pasir Gudang, penaja-penaja, ibu bapa peserta-peserta khatan di atas kerjasama dan kepercayaan yang telah diberikan.

Sebagai sebuah Pihak Berkuasa Tempatan yang prihatin terhadap kebajikan dan kepentingan komuniti, matlamat penganjuran program ini adalah bertujuan untuk memberikan peluang kepada masyarakat Pasir Gudang untuk mendapatkan perkhidmatan berkhatan kanak-kanak pada harga yang berpatutan.

#majlisbandarayapasirgudang

#dynamicpasirgudang