Langkau ke kandungan utama

1 Januari 2026, Datuk Bandar Pasir Gudang, Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, telah merasmikan Kempen Pasir Gudang Tanpa Tunai 2026 sebagai usaha menggalakkan pembayaran Cukai Harta dan Sewaan secara atas talian dan tanpa tunai.

Sejurus selepas majlis perasmian, Datuk Bandar juga turut menyampaikan cenderahati istimewa kepada pembayar Cukai Harta sebagai tanda penghargaan atas komitmen menjelaskan bayaran pada awal tahun.

Sebagai penghargaan, pembayar terawal turut menerima Cenderahati Edisi Terhad MBPG Tahun 2026, manakala 5,000 pembayar terawal yang membuat bayaran Cukai Harta secara atas talian layak menerima baucar Cukai Harta bernilai RM10, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.

Penyampaian cenderahati ini turut diiringi oleh Yang Berusaha Encik Ezlan Farid bin Mohd Said, Setiausaha Majlis Bandaraya Pasir Gudang, bersama pegawai-pegawai kanan MBPG.

Majlis Bandaraya Pasir Gudang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga Pasir Gudang, para pembayar Cukai Harta termasuk sektor perindustrian dan kilang-kilang, serta rakan strategik dan agensi berkaitan yang sentiasa memberi sokongan padu terhadap usaha dan inisiatif MBPG.

Sokongan berterusan ini amat penting dalam memastikan kelangsungan perkhidmatan bandar serta merealisasikan Pasir Gudang sebagai bandar raya yang bersih, lestari dan berdaya huni.

PEMBAYAR CUKAI 2026