10 Disember 2025, Datuk Bandar Pasir Gudang, Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil hari ini telah mengadakan lawatan ke dua lokasi kebayan yang berfungsi sebagai ruang makan dengan peniaga-peniaga setempat di bawah seliaan MBPG.
Lawatan pertama di Kebayan Taman Mawar memfokuskan kepada kemudahan yang telah siap sepenuhnya pada 17 Julai 2025. Namun, semasa tinjauan dijalankan, Datuk Bandar memaklumkan rasa kesal apabila terdapat perbuatan vandalisme berupa contengan pada bahagian struktur bangunan. Tindakan ini mencacatkan imej kebayan dan mengganggu suasana persekitaran untuk para peniaga dan pengunjung yang datang untuk menikmati makanan.
Seterusnya di Kebayan Jalan Perak, Datuk Bandar meninjau tapak projek yang melibatkan perobohan bangunan lama dan pembinaan kebayan baharu. Projek ini sedang dilaksanakan dari 1 Disember 2025 hingga 6 September 2026, dengan tujuan menyediakan ruang makan yang lebih selesa, tersusun dan kondusif untuk peniaga serta pelanggan.
Datuk Bandar menegaskan kepentingan menjaga kemudahan awam dan menyeru masyarakat agar bersama memelihara kebayan dengan tidak melakukan vandalisme dan melaporkan sebarang kerosakan. Kemudahan seperti ini adalah untuk kegunaan bersama dan perlu dijaga demi keselesaan para peniaga dan pengunjung.
MBPG akan terus memastikan pemantauan, penyelarasan dan sokongan teknikal diberikan supaya projek-projek kebayan dapat disiapkan mengikut jadual serta memenuhi keperluan penduduk Pasir Gudang.
