12 Jun 2025, MBPG menerima kunjungan rasmi delegasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Taman Perindustrian Hi-Tech Kulim yang diketuai oleh Yang Berhormat Mejar (B) Mansor bin Zakaria, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kedah.
Lawatan yang berlangsung di Menara Aqabah ini disambut mesra oleh Datuk Bandar Pasir Gudang, Yang Berhormat Dato’ Haji Mustaffa Kamal bin Dato’ Haji Shamsudin, dan dimulakan dengan pemeriksaan Kawalan Kehormat oleh Pasukan Penguatkuasaan MBPG.
Tujuan utama lawatan ini adalah sebagai sebahagian daripada proses penandaarasan ke arah menaik taraf status perbandaran PBT Taman Perindustrian Hi-Tech Kulim, dengan mengambil contoh amalan terbaik dan pencapaian MBPG dalam pengurusan bandar raya, pembangunan mampan serta inisiatif mesra rakyat.
Selain sesi pembentangan dan pertukaran pandangan antara kedua-dua pihak, delegasi turut dibawa melawat ke beberapa lokasi pelancongan tempatan seperti Lorong Seni Masai dan Muzium Layang-Layang Pasir Gudang sebagai perkongsian kejayaan MBPG dalam memperkasakan sektor pelancongan bandar dan komuniti setempat.
Lawatan ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada kerjasama antara PBT dalam memperkukuh tadbir urus bandar yang mampan, inovatif dan berimpak tinggi.
