4 April 2026, MBPG menyertai MATTA Fair Kuala Lumpur 2026 yang berlangsung di MITEC, Kuala Lumpur dari 3 hingga 5 April 2026 sebagai platform strategik dalam memperkukuh promosi pelancongan tempatan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Raven Kumar Krishnasamy, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor selaku wakil Rasmi Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dengan diiringi oleh Yang Berusaha Mr. Nigel Wong, Presiden Malaysian Association of Tour and Travel Agents (MATTA), bersama barisan kenamaan terdiri daripada wakil kerajaan negeri, agensi pelancongan serta pemain industri utama.
Hadir sama YB Datin Paduka Hazlina binti Jalil, Datuk Bandar Pasir Gudang serta Yang Berusaha Encik Ezlan Farid bin Mohd Said, Setiausaha MBPG sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh sektor pelancongan negeri Johor.
Penyertaan MBPG dalam MATTA Fair 2026 menjadi platform penting dalam memperkenalkan keunikan destinasi di Pasir Gudang kepada pengunjung dari dalam dan luar negara. Penganjuran MATTA Fair yang merupakan antara pameran pelancongan terbesar negara ini menghimpunkan pelbagai pemain industri serta menarik ribuan pengunjung setiap kali dianjurkan.
Antara tarikan utama yang diketengahkan termasuk Muzium Layang-Layang Pasir Gudang yang terkenal sebagai satu-satunya muzium layang-layang di Malaysia dan berkait rapat dengan Festival Layang-Layang Sedunia bertaraf antarabangsa. Selain itu, Galeri Seramik Pasir Gudang turut diperkenalkan sebagai pusat seni yang mempamerkan hasil kraftangan tempatan, manakala Santuari Buaya Pasir Gudang menawarkan pengalaman unik berkonsepkan alam semula jadi.
Penyertaan ini bukan sahaja memperluaskan jaringan promosi pelancongan, malah menjadi medium penting dalam memperkenalkan produk berasaskan warisan, seni dan ekopelancongan kepada khalayak lebih luas. Usaha ini selaras dengan aspirasi menjadikan Pasir Gudang sebagai destinasi pelancongan berdaya saing serta menyokong agenda Tahun Melawat Johor 2026. Jom singgah ke reruai MBPG di MATTA Fair Kuala Lumpur 2026!
