6 November 2025, MBPG hari ini telah mengadakan Majlis Serah Terima Tugas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang.
Majlis ini menyaksikan penyerahan tugas antara Yang Berhormat Dato’ Haji Mustaffa Kamal bin Dato’ Haji Shamsudin dan Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil sebagai Datuk Bandar Pasir Gudang yang baharu.
Penyerahan ini turut disaksikan oleh Ahli-Ahli Majlis, Timbalan Setiausaha MBPG serta para Pengarah Jabatan MBPG.Semoga kepimpinan baharu ini terus memperkasa usaha menjadikan Pasir Gudang sebagai bandar raya Bersih, Lestari dan Berdaya Huni.
Sementara itu, Majlis “Untaian Kasih, Sanjungan Budi” berlangsung penuh kasih dan penghargaan bagi meraikan Yang Berhormat Dato’ Haji Mustaffa Kamal bin Dato’ Haji Shamsudin, mantan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang atas segala jasa, budi dan khidmat bakti yang telah dicurahkan sepanjang tempoh kepimpinan beliau di MBPG.
Majlis disempurnakan oleh Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Datuk Bandar Pasir Gudang, yang dalam ucapannya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dato’ atas kepimpinan berwawasan, integriti serta dedikasi dalam memacu kecemerlangan pentadbiran dan pembangunan bandaraya.
Majlis turut diserikan dengan tayangan montaj khas, persembahan kumpulan keroncong dan gimik simbolik ‘clock out’ terakhir oleh Dato’ sebagai simbol penghargaan atas khidmat bakti dan dedikasi beliau kepada MBPG.
POHON SIRIH POHON SELASIH,
TUMBUH MERIMBUN DI HUJUNG LAMAN,
KALUNGAN BUDI JUNJUNGAN KASIH,
MENJADI KENANGAN SEPANJANG ZAMAN.
Semoga Allah S.W.T terus merahmati perjalanan baharu Dato’, dikurniakan kesihatan yang baik, ketenangan hati serta kejayaan berterusan dalam setiap langkah.
