MENU

YB Tan Sri Dato’ Dr Haji Azmi bin Rohani selaku Setiausaha Kerajaan Johor pada hari ini telah sudi hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Dynamic Pasir Gudang anjuran Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) bertempat di Dewan Puncak Kasih, Bukit Layang-layang, Taman Bandar, Pasir Gudang.

Majlis hari telah ini mencakupi acara pelancaran dokumen Buku Pelan Strategik MBPG 2021-2025 serta pelancaran bendera dan lagu rasmi MBPG.

Selain itu YB Tan Sri Dato Dr. Setiausaha Kerajaan Johor turut bersama-sama YB Dato’ Asman Shah bin Abd. Rahman, Datuk Bandar, MBPG dan Setiausaha MBPG bersama kumpulan komuniti melakukan aktiviti berbasikal sejauh 2.2 kilometer ke Sungai Selangkah bagi menyempurnakan Majlis Pelancaran Jawatankuasa Kelestarian Sg. Kim Kim dengan menanam pokok dan aktiviti gotong-royong kebersihan di sekitar tebingan sungai.

Dalam ucapan YB Tan Sri Dato’ Dr. Setiausaha Kerajaan Johor, ada menyatakan warga kerja MBPG perlu ada sifat tangkas dan bingkas dalam mendepani cabaran yang lebih getir pada masa ini dan seterusnya bagi memberi perkhidmatan yang terbaik untuk komuniti di Pasir Gudang khususnya.

Selepas daripada itu, YB Tan Sri Dato Dr. Setiausaha Kerajaan Johor juga telah berkesempatan melawat dan beramah mesra bersama penduduk di Kebun Komuniti Jalan Duku 30, Taman Kota Masai.

Turut hadir menjayakan majlis Yang Dihormati Puan Sri Datin Dr. Hajah Nor Azizah binti Abdul Latif, Pengerusi Puspanita Negeri Johor beserta Yang Dihormati Datin Halimah binti Mohamed Rasip, Pengerusi Puspanita MBPG dan Timbalannya YBhg. Puan Sharifah Amariah binti Ahmad Jailani. Beliau telah menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah bagi acara sukaneka yang melibatkan warga Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) serta pertandingan mewarna oleh kanak-kanak Pasir Gudang bertempat di perkarangan Astaka Tradisional dan Muzium Layang-Layang, di Bukit Layang-layang, Taman Bandar, Pasir Gudang.

Semoga Pasir Gudang akan terus berjaya menjadi sebuah Bandaraya Sejahtera, Pintar, dan Rendah Karbon Menjelang 2025 melalui komitmen, dedikasi serta kerjasama semua warga pentadbiran MBPG disamping sokongan padu daripada Ahli Majlis MBPG serta kerjasama masyarakat dan pemegang taruh di Pasir Gudang.

#BandarayaIndustri&Pelabuhan

#DynamicPasirGudang