7 Februari 2026, Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang Kali Ke-28, 2026 telah berlangsung dengan penuh kemeriahan dan keunikan, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara acara layang-layang bertaraf antarabangsa yang signifikan di rantau ini.
Majlis perasmian festival telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor, serta menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi pencapaian “Most Countries Participating in a Wau Flying Event”.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang Berhormat Dato’ Haji Asman Shah bin Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Johor, Yang Berbahagia Tuan Mohd Masni bin Wakiman, Pegawai Daerah Johor Bahru, Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Yang Berbahagia Encik Mohammad Nazrul bin Abd Rahim, Pengarah Tourism Johor, Yang Berhormat Dato’ Haji A. Rahim bin Haji Nin, Yang Dipertua Persatuan Pelayang Johor merangkap Presiden Majlis Pelayang Malaysia serta Yang Berbahagia Tuan Haji Hasrin Kamal bin Hashim, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri merangkap Timbalan Pengerusi Persatuan Pelayang Johor, bersama barisan ketua jabatan, wakil agensi, pengadil serta pelayang-pelayang antarabangsa dan kebangsaan.
Dengan penglibatan wakil-wakil dari pelbagai negara merentas benua, penganjuran festival pada tahun ini jelas menampilkan Pasir Gudang sebagai pentas antarabangsa yang menyatukan kepelbagaian budaya melalui seni layang-layang. Penganjuran ini turut memberi impak positif kepada promosi pelancongan, aktiviti ekonomi setempat serta pengukuhan hubungan antarabangsa negeri Johor, selaras dengan aspirasi sempena Tahun Melawat Johor dan Tahun Melawat Malaysia.
MBPG merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua rakan strategik, pempamer, sukarelawan, agensi kerajaan serta pihak-pihak yang terlibat, sama ada secara langsung atau tidak langsung, atas komitmen dan kerjasama erat yang telah diberikan dalam menjayakan penganjuran Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang Kali Ke-28, 2026.