22 Oktober 2025, MBPG melakar satu lagi kejayaan gemilang di peringkat kebangsaan apabila diumumkan sebagai pemenang Anugerah Emas (Sektor Awam) dan Anugerah Perdana Menteri sempena Majlis Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2025, anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM) bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada hari ini.
Penganugerahan berprestij ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, sebagai pengiktirafan terhadap komitmen MBPG dalam memperkukuh budaya integriti, tadbir urus terbaik dan usaha berterusan menentang rasuah di peringkat pihak berkuasa tempatan.
Anugerah berkenaan telah diterima oleh YB Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Datuk Bandar Pasir Gudang, mewakili seluruh warga kerja MBPG.
Majlis turut dihadiri oleh YB Dato’ Haji Mustaffa Kamal bin Dato’ Haji Shamsudin, Mantan Datuk Bandar Pasir Gudang serta Yang Berusaha Encik Ezlan Farid bin Mohd Said, Setiausaha MBPG.
Kejayaan ini menjadi bukti komitmen MBPG dalam memperkukuh integriti dan akauntabiliti selaras dengan aspirasi Maju Johor, Malaysia MADANI dan PG Perkasa 2030.
Tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan kejayaan bermakna ini. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor atas sokongan berterusan yang menjadi pemangkin kejayaan ini.
