Langkau ke kandungan utama

15 Julai 2026, MBPG telah mengadakan Program Perhimpunan Bulanan Warga Kerja MBPG di Laman Seribu Mawar, Taman Mawar yang menghimpunkan warga kerja daripada pelbagai jabatan.

Program dimulakan dengan aktiviti Brisk Walk dan senaman Zumba sebelum diteruskan dengan amanat oleh Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Datuk Bandar Pasir Gudang. Turut berlangsung ialah Majlis Perasmian Laman Seribu Mawar, Taman Mawar, penyerahan kamera badan dan peranti mudah alih kepada anggota penguat kuasa MBPG serta penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Fotografi Kreatif @ Lorong Mawar 46.

Dalam amanatnya, Datuk Bandar menyeru seluruh warga kerja agar terus mengamalkan budaya kerja yang berintegriti, profesional dan berprestasi tinggi, di samping memperkukuh semangat kebersamaan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Seterusnya, Datuk Bandar Pasir Gudang telah menyempurnakan penyerahan kamera badan (body camera) dan peranti mudah alih kepada anggota penguat kuasa MBPG.

Inisiatif ini merupakan langkah strategik MBPG dalam memperkukuh profesionalisme, integriti dan ketelusan dalam pelaksanaan tugas penguatkuasaan, selaras dengan aspirasi bandar pintar serta penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan. Penggunaan kamera badan dan peranti mudah alih ini bukan sahaja berfungsi sebagai bahan rujukan sekiranya berlaku aduan atau pertikaian, malah turut melindungi kebajikan anggota ketika menjalankan tugas serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan secara adil, telus dan berhemah.

MBPG berharap kemudahan ini dapat dimanfaatkan dengan penuh amanah dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, sekali gus memperkukuhkan budaya kerja berintegriti dalam kalangan anggota penguat kuasa demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga bandaraya.

PERASMIAN LAMAN MAWAR THUMBNAIL