Langkau ke kandungan utama

9 Oktober 2026, MBPG telah mengadakan Sesi Townhall Bersama Penduduk Jalan Gunung, Bandar Seri Alam di Dewan Muafakat Jalan Gunung bagi membincangkan isu penempatan dan pemasangan tower crane berhampiran kawasan perumahan, khususnya berkaitan keselamatan, kedudukan peralatan pembinaan serta kemungkinan kesannya terhadap persekitaran kediaman berhampiran projek pembinaan sebuah blok rumah pangsa sederhana di Jalan Gunung 1, Bandar Seri Alam.

Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina binti Jalil, Datuk Bandar Pasir Gudang menegaskan bahawa MBPG sentiasa mengambil serius isu keselamatan dan kesejahteraan penduduk. Setiap perkara yang dibangkitkan akan diteliti berdasarkan fakta, keperluan teknikal, syarat kelulusan serta bidang kuasa pihak berkaitan bagi menentukan tindakan susulan yang bersesuaian.

Alhamdulillah, sesi perbincangan berlangsung dengan baik dan mencapai persefahaman antara kedua-dua pihak. Melalui dialog terbuka ini, kebimbangan penduduk dapat didengari, manakala penjelasan pihak berkaitan memberikan gambaran lebih jelas mengenai isu yang dibangkitkan.

MBPG merakamkan penghargaan atas keterbukaan, kerjasama dan komitmen semua pihak sepanjang sesi ini. Semoga persefahaman dan komunikasi berterusan menjadi asas kepada penyelesaian terbaik demi mewujudkan persekitaran kediaman yang selamat, teratur dan selesa.

TOWNHALL SERI ALAM THUMBNAIL