Langkau ke kandungan utama
 

 

PERUTUSAN DATUK BANDAR PASIR GUDANG

BISMILLAHIRAHMANNIRRAHIM

السَلامُ عَلَيكُم وَرَحمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

& Salam Bandaraya Pasir Gudang

Selamat datang ke laman sesawang rasmi Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG)

Alhamdulillah, Terlebih dahulu marilah sama-sama kita merafakkan segala puji dan kesyukuran kehadrat Allah SWT, Tuhan sekalian alam diatas limpah kurnianya yang masih menganugerahkan kita dengan pelbagai nikmat yang tidak ternilai sehingga dapat kita bersua lagi bagi tahun 2022.

Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarganya, sahabat-sahabat baginda, para tabi’in dan seterusnya pewaris-pewaris perjuangannya.

Seterusnya, melalui kesempatan ini saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada barisan ketua-Ketua Jabatan , Bahagian dan Unit MBPG serta tidak ketinggalan Ketua Whip dan barisan ahli-ahli Majlis MBPG, jabatan-jabatan kerajaan dan agensi swasta dan yang terpenting kepada rakyat dan pemegang taruh di kawasan pentadbiran Pasir Gudang. Sesungguhnya, melalui sokongan, kerjasama dan kolaborasi dari pelbagai pihak tersebut merupakan faktor utama kejayaan yang mampu merealisasikan visi “Pasir Gudang menjadi Bandar Raya Sejahtera, Pintar Dan Rendah Karbon Menjelang 2025”.

Tanggal 9 Disember 2021 bersamaan 4 Jamadilawal 1443H yang lalu telah menjadi catatan dalam lipatan sejarah apabila dengan rasminya warga Pasir Gudang telah dapat menyaksikan Upacara Pengisytiharan MBPG yang mana ianya telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan  Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim.

Rakyat di Pasir Gudang tidak dilupakan untuk berkongsi kegembiraan dengan penganjuran pelbagai aktiviti seperti Karnival Sukan Rakyat selama 2 hari yang melibatkan seluruh komuniti 24 zon Pasir Gudang.

Masa berlalu pantas dan tidak terasa ianya telah melepasi lebih dari satu tahun menggalas tanggungjawab sebagai Datuk Bandar pertama di MBPG. Melepasi peringkat awal dalam tempoh masa 100 hari pentadbiran ini, beberapa perkara penting terlebih dahulu telah saya lakukan khusus dalam merangka dan menyediakan 6 Manifesto Revolusi Bandar Raya bagi diselarikan dengan pelan strategi MBPG 2021-2025.

Berdasarkan kepada manifesto yang disediakan, diharap MBPG dapat terus melakar kecemerlangan dan meningkatkan produktiviti dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat atau komuniti seterusnya komited untuk melaksanakan dasar-dasar Kerajaan selaras dengan halatuju dan aspirasi pentadbiran semasa demi memastikan kesejahteraan rakyat dapat ditingkatkan.

Sebagai kerajaan diperingkat ketiga, adalah menjadi tanggungjawab MBPG untuk bersama-sama mendokong sepenuhnya Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang bermatlamat untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia menjelang 2030 dan akan menjajarkan program dan inisiatif organisasi untuk menjayakan objektif ini.  Walaupun, pada masa ini kita masih berada dalam krisis kesihatan dan ekonomi yang paling mencabar dalam sejarah moden kita. Rakyat bergantung harap supaya semua sistem kerajaan berjalan lancar dan berupaya membantu mereka untuk membina semula bisnes atau kerjaya mereka.

Semoga dengan usaha yang berlipat ganda, membolehkan semua perancangan  yang telah disusun dapat dilaksanakan dengan jayanya agar organisasi lebih berdaya saing dan memperoleh pencapaian yang jauh lebih cemerlang serta mendokong komuniti Bandar Raya Pasir Gudang untuk terus hidup dalam limpahan keharmonian dan kesejahteraan. Akhirnya didoakan semoga kita semua sentiasa dirahmati, dipelihara dan dilindungi Allah SWT. Dijauhi wabak penyakit, bala’ bencana serta segala perbuatan keji dan mungkar.

Amin! Amin! Amin! Ya Rabbal Alamin.

 

Sekian, terima kasih.

DATO’ ASMAN SHAH BIN ABD RAHMAN
Datuk Bandar Pasir  Gudang
Majlis Bandaraya Pasir Gudang

#dynamicpasirgudang