Skip to main content

29/3/2023 Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) pada hari ini telah menganjurkan Program Sesi Town Hall Datuk Bandar Pasir Gudang Bersama Penyewa Kebayan Dan Semai Niaga Milik MBPG bertempat di Dewan Muafakat Taman Mawar, Pasir Gudang. Dalam sesi Townhall ini, Yang Berhormat Dato’ Asman Shah Bin Abd. Rahman, Datuk Bandar MBPG telah hadir bagi memberi penerangan berkaitan isu kenaikan sewa premis Kebayan dan Semai Niaga. Turut hadir ke sesi Townhall ini ialah Yang Berhormat Tuan Hassan Bin Karim, Ahli Parlimen Pasir Gudang dan Yang Berhormat Tuan Haji Azizul Bin Hj Bachok, Adun Tiram.

Dalam menyokong hasrat kerajaan Malaysia Madani, Sesi Townhall ini telah mengetengahkan inisiatif kepada penyewa-penyewa di mana pihak MBPG turut akan memperkenalkan hidangan menu Rahmah di semua Kebayan dan Semai Niaga milik MBPG. Rebat sebanyak 5 peratus kadar sewa akan diberikan kepada penyewa-penyewa yang melaksanakan inisiatif menu Rahmah ini. MBPG akan meletakkan syarat bagi mengawal peniaga untuk melaksanakan menu Rahmah ini.

Selain itu, MBPG turut merancang perlaksanaan Program Rejuvenasi di beberapa buah Kebayan iaitu, Kebayan Mawar Putih, Kebayan Jalan Nenas, Taman Kota Masai dan Kebayan MIEL, Bandar Seri Alam bagi memberikan nafas baharu. Kebayan ini akan dinaiktaraf secara keseluruhan dengan rekabentuk yang berbeza dari asalnya.

MBPG juga akan menjenamakan semula Semai Niaga di mana Semai Niaga Taman Cendana dan Taman Air Biru akan dijadikan Tapak Penjaja Berpusat dan akan dilengkapi kiosk yang akan disediakan oleh MBPG.

Turut diadakan sesi dialog di antara penyewa-penyewa dan Datuk Bandar MBPG bagi mendengar dan berkongsi pandangan di antara satu sama lain. Pelbagai cadangan turut dilontarkan demi kemaslahatan penyewa-penyewa Kebayan di Pasir Gudang. Semoga melalui inisiatif-inisiatif yang disampaikan melalui sesi Townhall ini dapat memberi manfaat kepada penyewa Kebayan dan seterusnya keselesaan pengunjung.

#majlisbandarayapasirgudang

#dynamicpasirgudang

#bandarrayaindustridanpelabuhan