Skip to main content

25/6/2022 Umumnya mengetahui selepas melalui tempoh yang amat mencabar mengekang pandemik Covid-19, kerajaan negeri Johor juga turut membuka semula kesemua sektor ekonomi termasuk membenarkan pembukaan semula sektor pelancongan tempatan. YB Dato’ Asman Shah bin Abd Rahman, Datuk Bandar Pasir Gudang hari ini dalam ucapannya ketika merasmikan Sambutan Hari Buaya Sedunia 2022 peringkat Santuari Sarang Buaya Pasir Gudang turut menekankan 5 strategi pelan pembangunan pelancongan di Pasir Gudang telah dirancang antaranya :

1. Membudayakan dan memperkasakan tarikan pelancongan di semua kawasan Pasir Gudang melalui jaringan koridor Johor Bahru – Pasir Gudang dengan mempelbagaikan aktiviti dan acara pelancongan bagi menarik pelancong ke Pasir Gudang sekaligus memberi imej pelancongan kepada kawasan ini dan memasukkan destinasi Pasir Gudang ke dalam jaringan perjalanan pelancong ke Johor Bahru.

2. Penaiktarafan program homestay dengan variasi aktiviti dan penglibatan penduduk kampung bagi mengetengahkan warisan dan budaya Johor dengan mewujudkan pelbagai aktiviti di kampung-kampung tradisional seperti kampung Perigi Aceh dan mengaktifkan kembali program homestay di kawasan tersebut.

3. Meningkatkan kemudahan dan prasarana pelancongan yang menyeluruh dan menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan terutama kemudahan penginapan dengan membangunkan trail dan pakej pelancongan bertema bagi menarik pelancong datang dan melibatkan agensi pelancong di sekitar kawasan Pasir Gudang.

4. Mengukuhkan kerjasama dan kolaborasi semua pihak dan peringkat dalam mewujudkan keselarasan dalam semua pembangunan produk pelancongan yang sedia ada dan di masa hadapan dengan mengadakan smart partnership yang bersesuaian dengan membangunkan model perniagaan berkesan bagi pemerkasaan ekonomi operator pelancongan tempatan serta membudayakan smart tourism di dalam pakej pelancongan.

5. Memberi peluang serta menggalakkan pelabur luar terlibat dalam produk dan perkhidmatan pelancongan baru dengan penginapan 4 bintang yang berkonsepkan waterfront resort, pusat glamping dan chalet serta menyediakan pakej penginapan dan aktiviti yang sesuai untuk menarik pelancong datang menginap.

Berucap dihadapan pengunjung dan pemain industri pelancongan yang hadir, beliau dengan dibantu Dr Muhammad Daniel Felix, Doktor veterinar Sarang Buaya turut berkesempatan menyempurnakan gimik perasmian dengan memasukkan mikrocip pengenalan terhadap anak buaya baru menetas seberat 876 gm. yang dinamakan “Dinamik” untuk dilepaskan ke dalam kolam pembesaran. Selain itu beliau juga telah sama-sama turut membantu melakukan rawatan ke atas seekor buaya dewasa yang tercedera di kolam berhampiran akibat pergeseran yang berlaku.

Selain penganjuran Festival Layang-layang Sedunia Pasir Gudang, beliau juga turut menamakan pelbagai lagi destinasi menarik yang boleh dikunjungi dan mampu menawarkan pengalaman yang berbeza seperti Muzium Layang-layang di Bukit Layang-layang, Laman Extreme Park, Laman Rekreasi Sungai Buloh, Eco Tropic, Tanjung Puteri Golf Resort, Taman Pertanian Kong Kong, Rumah Rakit di Kong Kong Laut , Kedai Makan Rahmat di Kampung Pasir Putih yang menjadi tumpuan khususnya di hujung minggu oleh pelancong-pelancong luar.

Dengan kehadiran pelancong luar ini sudah pastinya dapat memberi impak ekonomi kepada Bandaraya Pasir Gudang khasnya dan negeri Johor amnya kerana pelancong asing yang datang tentunya memerlukan tempat penginapan, makanan dan minuman, perkhidmatan pengangkutan, Jurupandu pelancong dan lain-lain perkhidmatan.

Justeru itu, di dalam Rancangan Tempatan Pasir Gudang 2030 (RTPG 2030) sektor pelancongan diambil kira sebagai salah satu sokongan utama dalam pemerkasaan ekonomi penduduk tempatan serta mengoptimumkan potensi sumberjaya pelancongan sedia ada agar mampu berdaya saing dan saling menyokong. Bandaraya Pasir Gudang telah begitu sinonim dengan pelancongan acara dan pelancongan makanan di mana kedua-dua ini merupakan sokongan kepada pelancongan daerah Johor Bahru secara keseluruhannya.

#majlisbandarayapasirgudang

#bandarayaindustridanpelabuhan

#DynamicPasirGudang

img