Skip to main content

4/6/2023 Yang berhormat Tuan Haji Baharuddin bin Mohamed Taib, Adun Permas merangkap Pengerusi Yayasan Pasir Gudang pada hari ini telah hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran Rumah Transit Pasir Gudang bertempat di perkarangan parkir Blok 55 Rumah Pangsa, Taman Air Biru.

Majlis turut dihadiri oleh Yang Berhormat Dato’ Asman Shah bin Abd. Rahman, Datuk Bandar MBPG dan YBhg. Dato’ Hj Mohd Amin bin Ahmad, Ketua Whip, ahli-ahli Majlis serta Ketua-ketua Jabatan MBPG.

Program merupakan inisiatif dalam mewujudkan penginapan transit sebagai satu bentuk keprihatinan terhadap keluarga yang ditimpa bencana dan mempunyai keperluan mendesak. Ianya juga merupakan pelan kecemasan dan langkah kesiapsiagaan menjadi tempat perlindungan sementara yang amat perlu disediakan dengan kadar seberapa segera sekiranya berlaku sesuatu bencana atau tragedi yang tidak dijangka.

Walaupun sekadar rumah transit untuk penginapan sementara bagi satu tempoh yang ditetapkan namun ia nya dijangka sekurang-kurangnya dapat memberi kelegaan kepada mangsa yang ditimpa tragedi untuk bangkit membina semula kehidupan yang diimpikan. Ini termasuk kos penyambungan bekalan eletrik dan air serta bil bulanan akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak MBPG dalam tempoh tersebut.

Sehingga kini MBPG telah menyerahkan sebanyak 10 unit rumah untuk dijadikan rumah transit Yayasan Pasir Gudang bagi tempoh 20 bulan, bermula 1 April 2023 hingga 31 Disember 2024. Semua unit tersebut adalah jenis rumah pangsa 2 bilik berkeluasan 580 kaki persegi dan kesemuanya terletak di tingkat 2, Blok 52 Taman Air Biru.

Seramai 3 buah keluarga mangsa ribut telah menerima kunci rumah transit bersempena majlis yang dianjurkan.

#rumahtransitpg

#majlisbandarayapasirgudang

#dinamik pasirgudang